UTB dan TAP Menandatangani Memrandum Persefahaman (MoU) Untuk Memperkasa Keusahawanan Pelajar dan Literasi Kewangan

11 Mac 2026

Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah memeterai satu kerjasama rasmi melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan meningkatkan kesedaran keusahawanan, literasi kewangan, serta pembangunan bakat dalam kalangan pelajar dan alumni UTB.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTB, Yang Mulia Datin Paduka Profesor Dr Dayang Hajah Zohrah Haji Sulaiman, dan Interim Pengarah Urusan TAP, Yang Mulia Azmilen bin Haji Ramlee, dalam satu majlis yang berlangsung di kampus UTB. Turut hadir di majlis tersebut adalah wakil-wakil pihak Pengurusan UTB dan TAP.

Kerjasama ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan penyertaan dalam skim-skim yang ditawarkan oleh TAP, khususnya Skim Persaraan Kebangsaan bagi individu Bekerja Sendiri (SPK SE). Melalui inisiatif ini, UTB dan TAP berhasrat untuk memperkukuh kesedaran mengenai SPK SE dalam kalangan pelajar, graduan dan individu yang bekerja sendiri; membekalkan pelajar dengan kemahiran serta sumber keusahawanan bagi memupuk inovasi dan pekerjaan sendiri; menyokong pendaftaran dalam talian bagi SPK SE untuk meningkatkan kesiapsiagaan kewangan jangka panjang; serta memperkaya ekosistem keusahawanan pelajar melalui program kesedaran, bengkel, dan aktiviti kolaboratif. Kedua-dua institusi komited untuk mengoptimumkan kepakaran serta sumber masing-masing bagi mencapai matlamat bersama yang selaras dengan keutamaan pembangunan negara dan institusi.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama UTB dan TAP dalam memperkukuh modal insan Negara Brunei Darussalam, memupuk pertumbuhan berasaskan inovasi, serta menyokong aspirasi negara di bawah agenda transformasi sosioekonomi dan digital.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel di ask@tap.com.bn. Untuk maklumat terkini, ikuti Tabung Amanah Pekerja (TAP) di Facebook atau TAP_Brunei di Instagram.

Sebuah Syarikat Kontraktor Didenda Di Bawah Undang-Undang TAP Atas Kegagalan Membayar Caruman Pekerja