3 Jun 2026
Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah melaksanakan Program Lakastah Bersedia selama dua hari bermula pada hari Isnin, 25 Mei 2026 sehingga hari Selasa, 26 Mei 2026 bertempat di Dewan Sepakat 4, Pusat Persidangan Antarabangsa.
Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan membuat persediaan awal sebelum menghadapi fasa persaraan, dengan meliputi aspek-aspek utama seperti perancangan kewangan, penjagaan hubungan kekeluargaan dan sosial, penjagaan kesihatan dan pengurusan harta. Golongan sasaran terdiri daripada individu yang akan bersara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Sesi pada kali ini telah dihadiri oleh seramai 48 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan bersama pasangan masing-masing. Penglibatan pasangan dalam program ini merupakan elemen penting dalam pendekatan yang diketengahkan memandangkan perancangan persaraan adalah lebih berkesan apabila dilaksanakan secara bersama; melalui galakan komunikasi terbuka, perkongsian dalam membuat keputusan, serta penyelarasan matlamat kewangan dan jangkaan gaya hidup, inisiatif ini bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan jaminan kesejahteraan jangka panjang. Justeru itu, penglibatan secara kolaboratif ini diharap dapat memperkukuhkan lagi keberkesanan dan kemampanan strategi perancangan persaraan dalam kalangan peserta.
Melalui program ini, para peserta diberikan pendedahan dan panduan praktikal daripada beberapa institusi jemputan. Selain taklimat mengenai perancangan kewangan dan persaraan oleh Unit Perkhidmatan Persaraan TAP, antara institusi yang turut terlibat ialah Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) yang menekankan kepentingan mengenal pasti serta menghindari penipuan kewangan, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga dari Jabatan Hal Ehwal Syariah, yang memberi fokus kepada kesejahteraan hubungan kekeluargaan dan sosial, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang membincangkan aspek pengurusan harta waris sebelum dan selepas meninggal dunia mengikut hukum Syara', Pusat Promosi Kesihatan yang mengetengahkan kepentingan penjagaan kesihatan sebelum dan semasa bersara, serta Cyber Security Brunei (CSB) yang mengongsikan isu-isu keselamatan digital dan panduan praktikal bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.
Program ini turut menekankan kepentingan menetapkan matlamat pendapatan persaraan serta mengambil tindakan awal bagi mengekalkan gaya hidup yang selesa semasa bersara nanti. TAP juga menggalakkan ahli-ahli TAP untuk membuat caruman sukarela ke dalam Akaun Ahli SPK sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka dan mendapatkan konsultasi melalui perancang-perancang kewangan yang di akreditasi, TAPCERT® .
Dengan adanya program ini, diharap akan dapat menjadi asas kepada para peserta dalam membina kehidupan persaraan yang lebih teratur, selamat dan bermakna. Usaha seumpama ini akan terus diperluaskan ke kementerian serta agensi lain pada masa akan datang.
Bagi ahli-ahli TAP yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan boleh menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja ataupun melalui emel di ask@tap.com.bn.