7 Mei 2026
Tabung Amanah Pekerja (TAP) meneruskan usaha jangkauan melalui inisiatif SE:TAPak, yang bertujuan membantu individu bekerja sendiri untuk memahami dengan lebih jelas mengenai Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) serta peranannya dalam menyokong keselamatan kewangan jangka panjang dan perancangan persaraan.
Sebagai sebahagian daripada aktiviti berterusan, pegawai TAP telah mengadakan lawatan lapangan ke para peniaga dan pengunjung di Festival Makanan Siuk Havoc 2.0 Brunei 2026 yang berlangsung di Jerudong Park Garden pada Jumaat, 1 Mei 2026. Lawatan ini memberi tumpuan kepada penglibatan secara langsung dengan para peniaga festival makanan, yang merupakan sebahagian daripada golongan individu bekerja sendiri dan usahawan mikro yang semakin berkembang.
Sepanjang sesi tersebut, pegawai TAP mendekati para peniaga di gerai masing-masing serta pengunjung untuk memberikan penerangan ringkas dan mudah difahami mengenai manfaat Skim Persaraan Kebangsaan Bekerja Sendiri (SPK SE). Sesi ini juga memberi peluang kepada individu yang bekerja sendiri untuk mengemukakan soalan, mendapatkan penjelasan lanjut serta menerima panduan pendaftaran secara mudah dan praktikal.
SPK SE merupakan skim sukarela yang dikhususkan untuk membantu individu bekerja sendiri membina simpanan persaraan mereka. Tertakluk kepada kriteria kelayakan dan syaratsyarat tertentu, individu bekerja sendiri yang disahkan layak boleh menerima caruman tambahan melalui Caruman Match-Up Kerajaan. Skim ini juga menyediakan perlindungan kepada tanggungan ahli melalui manfaat turunan, sekali gus memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial bagi golongan bekerja sendiri.
Seiring dengan kepelbagaian bentuk pekerjaan masa kini, SPK SE merangkumi pelbagai jenis pekerjaan termasuk peniaga makanan, pekerja bebas, pekerja gig, penghantar, penjual dalam talian serta usahawan berasaskan rumah. Skim ini menawarkan fleksibiliti dalam caruman, membolehkan individu menyumbang mengikut tahap pendapatan masing-masing sambil memastikan simpanan berterusan ke arah keselamatan kewangan jangka panjang.
Inisiatif SE:TAPak mencerminkan komitmen berterusan TAP dalam memastikan perkhidmatannya lebih mudah diakses dengan pendekatan individu di lokasi mereka menjalankan perniagaan. Melalui pendekatan ini, TAP berhasrat untuk merapatkan jurang maklumat serta menggalakkan penyertaan yang lebih meluas dalam SPK SE.
TAP menggalakkan semua individu bekerja sendiri untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SPK SE dan mengambil langkah proaktif dalam menjamin masa depan mereka.
TAP menggalakkan semua individu bekerja sendiri untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SPK SE dan mengambil langkah proaktif dalam menjamin masa depan mereka. SE:TAPak akan terus dilaksanakan di pelbagai daerah, acara dan lokasi perniagaan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan TAP untuk memperluaskan jangkauan kepada komuniti bekerja sendiri.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 pada waktu bekerja atau melalui emel di ask@tap.com.bn. Untuk mendapatkan maklumat terkini, layari laman sesawang www.tap.com.bn atau ikuti TAP di Facebook dan Instagram di TAP_Brunei.