Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) Kali Ke-42

6 November 2025

Mesyuarat Lembaga dan Sekretariat Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) ke-42 telah berjaya diadakan pada 5 November 2025 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, Brunei Darussalam. Mesyuarat ini telah dianjurkan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan dihadiri oleh para delegasi daripada institusi ahli ASSA di seluruh rantau ASEAN. 

Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Mr. Jose Arnulfo A. Veloso, Presiden dan Pengurus Besar Government Service Insurance System (GSIS) Filipina, selaku Pengerusi ASSA bagi tahun 2024–2025. Dalam sesi tersebut, beliau memulakan mesyuarat dengan menyampaikan ucapan alu-aluan serta mempengerusikan Mesyuarat Lembaga ASSA tersebut. 

Sesi berkenaan turut menampilkan penandatanganan Ikrar Kelestarian ASSA, tayangan video konsep Trofi ASSA, Anugerah Pengiktirafan ASSA 2025, serta tayangan video Sorotan Tahunan ASSA yang memaparkan pencapaian dan kerjasama institusi ahli sepanjang tahun. 

Antara agenda mesyuarat ialah perlantikan rasmi Awang Azmilen bin Haji Ramlee, Pengarah Urusan Interim TAP, sebagai Pengerusi ASSA bagi tahun 2025–2026. Turut diumumkan ialah pelantikan Puan Melissa Khoo, Ketua Pegawai Eksekutif Central Provident Fund (CPF) Board, Singapura, sebagai Naib Pengerusi ASSA, serta Haji Ibnu Shahrinuddin bin Haji Ibrahim, Timbalan Pengarah Urusan TAP, sebagai Setiausaha Agung ASSA bagi tahun 2025–2026. 

Selepas majlis penyerahan tersebut, Pengerusi Lembaga ASSA bagi sesi 2025-2026 merakamkan penghargaan kepada Pengerusi terdahulu dan menegaskan komitmen Brunei Darussalam untuk terus memperkukuh kerjasama dan inovasi keselamatan sosial di rantau ASEAN dibawah tema “Collective Progress – Transformative Reforms Towards a Secure Future for All.” 

Kejayaan penganjuran Mesyuarat Lembaga dan Sekretariat ASSA ke-42 ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh perpaduan, perkongsian ilmu dan kerjasama serantau dalam kalangan institusi keselamatan sosial ASEAN. 

Tabung Amanah Pekerja (TAP) Menganjurkan Majlis Makan Malam Bersempena Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) yang Ke-42