Tabung Amanah Pekerja (TAP) Menganjurkan Majlis Makan Malam Bersempena Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) yang Ke-42

5 November 2025

Tabung Amanah Pekerja (TAP) Brunei Darussalam telah menganjurkan Majlis Makan Malam Alu-Aluan sempena Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) ke-42, bagi mengalu-alukan delegasi yang terdiri daripada wakil institusi ahli ASSA, rakan antarabangsa serta tetamu jemputan dari rantau ini. 

Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan kerjasama semua rakan ASSA, semasa Majlis Makan Malam tersebut, Cenderamata Penghargaan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku, Pengerusi Lembaga Pengarah TAP kepada Pengerusi ASSA, Setiausaha Agung ASSA (2024–2025), Ketua-Ketua Delegasi, serta penceramah bagi Sesi Perkongsian Amalan Terbaik daripada negara-negara ahli ASSA. 

Majlis berkenaan telah diserikan oleh Yang Mulia Awang Azmilen bin Haji Ramlee, Pengarah Urusan Interim TAP merangkap Naib Pengerusi ASSA (2024 – 2025), yang dalam ucapan alu-aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli ASSA, penceramah plenari dan delegasi yang telah menyertai majlis ini serta menyumbang kepada kemajuan keselamatan sosial di rantau ASEAN. 

Beliau menegaskan bahawa malam tersebut bukan sahaja merupakan simbol kerjasama serantau, malah mencerminkan perjalanan transformasi Brunei Darussalam dalam memperkukuh landskap perlindungan sosial melalui Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) yang dilancarkan pada tahun 2023. SPK merupakan pencapaian penting berasaskan prinsip kemampanan, keterangkuman dan jaminan jangka panjang bagi tenaga kerja negara. 

Dengan mengangkat tema “Collective Progress – Transformative Reforms Towards a Secure Future for All”, beliau juga menyatakan bahawa transformasi sebenar bermula melalui pemerkasaan dan inovasi yang mampu membangunkan dan meningkatkan daya tahan sosioekonomi. 

Acara malam itu juga menampilkan pameran Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan yang mempersembahkan produk serta kraf tempatan hasil kreativiti dan ketekunan usahawan Brunei — ramai antaranya berstatus bekerja sendiri yang disokong oleh inisiatif kerajaan dan skim keselamatan sosial. 

Turut hadir pada majlis makan malam tersebut ialah Ahli-Ahli Lembaga Pengarah TAP dan Ahli-Ahli Komiti Lembaga TAP, yang hadir bagi memberikan sokongan terhadap komuniti keselamatan sosial ASEAN. 

Majlis ini turut menjadi wadah silaturahim dan pertukaran budaya dalam suasana mesra sebelum berlangsungnya sesi Mesyuarat Lembaga ASSA, mencerminkan budaya Brunei Darussalam serta komitmen berterusannya dalam memperkukuh semangat perpaduan, kerjasama dan kemajuan bersama dalam komuniti keselamatan sosial ASEAN. 

Tabung Amanah Pekerja Menjadi Tuan Rumah bagi Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) Ke-42