7 Mei 2025
Tabung Amanah Pekerja (TAP) menerusi Unit Perkhidmatan Persaraan meneruskan Program 10 Tahun Menjelang Persaraan (10 Years Towards Retirement) untuk sesi kedua kepada Ahli-Ahli TAP bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi yang telah diadakan pada hari Isnin, 05 Mei 2025.
Program ini bertujuan untuk mengongsikan peserta mengenai kepentingan perancangan kewangan serta menyediakan akses yang boleh membantu mereka untuk membuat perancangan kewangan dengan lebih teratur. Peserta sesi kedua program ini terdiri daripada ahli-ahli TAP yang akan bersara di dalam tempoh 10 ke 15 tahun, dijemput dari tiga buah kementerian iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan.
Selain itu, buat kali pertamanya, dalam sesi ini turut dihadiri oleh peserta daripada syarikat-syarikat telekomunikasi yang berminat untuk mengetahui mengenai perancangan kewangan persaraan mereka.
Sepanjang program tersebut, beberapa sesi taklimat telah diadakan. Antara topik taklimat yang diberikan adalah mengenai perancangan persaraan yang dikongsikan oleh pihak TAP dan cara menghindarkan dari penipuan-penipuan kewangan yang disampaikan oleh pihak Brunei Darussalam Central Bank (BDCB).
Selain daripada penyampaian taklimat, beberapa ruangan (booth) daripada BDCB, Brunei Insurance & Takaful Association (BITA) dan Brunei Association of Banks (BAB) disediakan untuk peserta mendapatkan perkhidmatan Financial Health Check dan produk yang boleh membantu membuat perancangan persaraan ahli TAP. Selain daripada itu, TAP juga menyediakan ruangan (booth) untuk Ahli-Ahli TAP membuat pendaftaran sebagai pengguna portal perkhidmatan dalam talian, e-Amanah. Dengan mendaftar sebagai pengguna portal, Ahli boleh mendapatkan baki terkini akaun simpanan TAP/SCP/SPK mereka serta memohon perkhidmatan yang ditawarkan di TAP secara dalam talian pada bila-bila masa.