IS Montessori Playhouse Didenda Atas Kesalahan Di Bawah Undang-Undang TAP

4 Februari 2026

Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah membuat pendakwaan terhadap Syarikat IS Montessori Playhouse atas kesalahan gagal membayar caruman pekerja di bawah undang-undang TAP.

Pemilik IS Montessori Playhouse telah mengaku bersalah kerana gagal membuat pembayaran bagi Skim TAP dan Skim SCP seperti yang diperuntukkan di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276) bagi pekerja-pekerjanya dalam tempoh yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak B$1,600.00 ke atas syarikat tersebut dan mengarahkan pembayaran sebanyak B$10,393.71 kepada TAP. Sekiranya gagal membuat pembayaran, waran levi akan dikeluarkan terhadap syarikat berkenaan.

TAP ingin mengingatkan semua majikan bahawa di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276), dan Bab 31 Akta Skim Persaraan Kebangsaan (Penggal 273), majikan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga B$3,000.00 bagi kesalahan pertama dan sehingga B$10,000.00 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, majikan adalah diingatkan untuk memastikan caruman dibayar sebelum 15hb pada bulan berikutnya bagi mengelakkan denda lewat pembayaran termasuk caj kerugian dividen dan caj perkhidmatan.

Para pekerja yang mempunyai aduan berkaitan penguatkuasaan seperti tidak berdaftar atau tiada pembayaran caruman boleh menghubungi Unit Penguatkuasaan TAP melalui talian 730 2929 atau emel enforcement@tap.com.bn. Aduan juga boleh dibuat di mana-mana cawangan TAP, melalui Pusat Panggilan di talian 272 2929 semasa waktu bekerja, atau melalui portal perkhidmatan dalam talian e-Amanah di ​www.tap.com.bn.

Program 10 Tahun Menjelang Persaraan