Skip to Content

KPMO Services Didenda Kerana Gagal Membayar Caruman Pekerja

27 sɛtanburu 2026 by
KPMO Services Didenda Kerana Gagal Membayar Caruman Pekerja
SMarTAP

26 September 2026

Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah membuat pendakwaan terhadap KPMO Services atas kesalahan gagal membayar caruman pekerja di bawah undang-undang TAP.

Pemilik syarikat tersebut telah mengaku bersalah kerana gagal membuat pembayaran caruman bagi Skim TAP, Skim SCP dan SPK bagi pekerja-pekerjanya dalam tempoh yang ditetapkan seperti yang diperuntukkan di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276) dan Bab 31 Akta Skim Persaraan Kebangsaan (Penggal 273).

Sehubungan itu, Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak BND3,300.00 ke atas majikan tersebut serta mengarahkan pembayaran caruman tertunggak sebanyak BND18,731.75 kepada pihak TAP. Kegagalan untuk membuat pembayaran denda dan tunggakan caruman tersebut boleh menyebabkan hukuman penjara dikenakan ke atas majikan berkenaan.

Pihak TAP ingin menegaskan bahawa pematuhan terhadap kewajipan pembayaran caruman adalah tanggungjawab setiap majikan. Di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276), dan Bab 31 Akta Skim Persaraan Kebangsaan (Penggal 273), majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi BND3,000.00 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi BND10,000.00 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, semua majikan diingatkan untuk membuat pembayaran caruman sebelum 15 haribulan pada bulan berikutnya bagi mengelakkan denda lewat pembayaran termasuk caj kerugian dividen dan caj perkhidmatan.

Para pekerja yang mempunyai aduan berkaitan penguatkuasaan seperti majikan tidak mendaftarkan pekerja atau gagal membayar caruman bolehlah melaporkannya kepada Unit Penguatkuasaan TAP melalui emel di alamat enforcement@tap.com.bn. Aduan juga boleh dibuat di mana-mana cawangan TAP, melalui Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja, atau melalui portal perkhidmatan dalam talian e-Amanah di www.tap.com.bn.

in News
Majikan Didenda atas Kesalahan Di Bawah Undang-Undang TAP