24 August 2024
Tabung Amanah Pekerja (TAP) ingin memaklumkan kepada orang ramai ”Program Menyusur Kampung” akan diadakan pada tempat dan masa seperti berikut:
Tarikh: Hari Selasa, 27hb Ogos 2024
Jam: 9.00 pagi – 4.00 petang
Tempat: Dewan Bandaran, Kuala Belait
Program ini merupakan sesi kedua pada tahun ini yang memfokuskan pembarigaan manfaat-manfaat Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) kepada Ahli-Ahli yang Bekerja Sendiri (Self-Employed) yang terdiri daripada Warganegara dan Penduduk Tetap berumur 60 tahun kebawah yang mempunyai syarikat/perniagaan tetapi tidak mempunyai pekerja dan tidak bekerja di dalam sektor formal (tidak ada majikan). Individu yang memenuhi persyaratan tersebut dan berkeinginan untuk berdaftar ke SPK adalah dialu-alukan untuk hadir ke program tersebut dengan membawa kad pengenalan asal serta dokumen pengesahan bekerja sendiri yang boleh dirujuk di laman sesawang TAP.
Di samping itu, Ahli-Ahli SPK lain yang ingin hadir semasa program tersebut juga dibolehkan untuk membuat Penamaan Pentadbir SPK. Penamaan Pentadbir akan mempercepatkan proses pembayaran simpanan Ahli SPK yang telah meninggal dunia kepada Waris dan Tanggungan yang dinamakan. Ahli adalah dibolehkan untuk melantik tidak lebih daripada tiga orang penama yang terdiri daripada Pasangan (Suami atau Isteri), Anak-Anak (berumur 18 tahun ke atas), Ibu Bapa, Adik Beradik atau Peguam/Peguam Shar’ie.
Ahli-Ahli SPK yang berkeinginan untuk melantik Pentadbir Penama hendaklah memastikan untuk membawa dokumen sokongan asal bagi individu yang akan dilantik seperti dikongsikan sini.
Bagi kelancaran proses penamaan semasa mengunjungi program itu nanti, Ahli adalah dinasihatkan untuk berdaftar terlebih dahulu sebagai pengguna portal perkhidmatan dalam talian TAP, e-Amanah di www.tap.com.bn.
Sehubungan dengan itu, bagi memudahkan urusan Ahli yang ingin berkunjung ke program tersebut, maklumat boleh didapati melalui laman sesawang TAP atau akaun rasmi media sosial Facebook, Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Instagram, @TAP_Brunei. Orang ramai bolehlah juga menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja atau melalui e-mel di ask@tap.com.bn untuk maklumat lanjut.