3 June 2025
Tabung Amanah Pekerja (TAP) meneruskan lagi Program Persijilan Perancangan Persaraan atau Retirement Planning Certification Programme (RPCP) bagi sesi kedua yang telah diadakan selama empat hari, bermula dari 20 Mei 2025 sehingga 23 Mei 2025. Program ini merupakan salah satu inisiatif utama TAP dalam memperkukuhkan pengetahuan dan keupayaan perancang-perancang kewangan di Negara Brunei Darussalam dalam bidang perancangan persaraan.
Sesi kali ini telah disertai oleh seramai 26 orang pengamal perancangan kewangan yang terdiri daripada syarikat-syarikat insurans swasta seperti AIA Brunei dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd, yang terlibat secara langsung dalam memberikan khidmat nasihat kewangan kepada masyarakat umum.
RPCP merupakan salah satu inisiatif TAP untuk melengkapkan para pengamal perancang kewangan dengan pengetahuan yang tepat berkaitan perancangan persaraan, khususnya maklumat mengenai produk-produk TAP seperti Skim Persaraan Kebangsaan (SPK), serta garis panduan latihan perancangan persaraan dari sudut konteks SPK.
Peserta yang berjaya menamatkan program ini akan menerima pengikhtirafan rasmi melalui pensijilan TAPCERT. Dengan pensijilan ini, orang ramai kini boleh mendapatkan nasihat persaraan daripada profesional yang diiktiraf oleh TAP, sekaligus meningkatkan keyakinan terhadap maklumat dan panduan yang diberikan.
Pendaftaran bagi sesi ketiga akan dibukakan pada bulan September 2025. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman sesawang rasmi TAP di www.tap.com.bn serta saluran media sosial rasmi TAP iaitu Instagram @TAP_Brunei dan Facebook @Tabung Amanah Pekerja (TAP).
Untuk maklumat lengkap mengenai kepentingan mendapatkan khidmat daripada Pengamal Perancang Kewangan yang diiktiraf TAPCERT, sila layari laman sesawang TAP.