12 November 2024
Unit Penguatkuasaan Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah melaksanakan Operasi Sepadu bersama dengan Unit Sukatan dan Timbangan (SDT), Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan (IBE) di bawah Kementerian Kewangan dan Ekonomi, ke atas lima puluh satu (51) premis perniagaan di kawasan Kampung Madang dan Kampung Pasir Berakas, Lambak.
Operasi ini bertujuan untuk menguatkuasakan Akta dan Peraturan seperti berikut:
i. Akta Skim Persaraan Kebangsaan (SPK), National Retirement Scheme Order, 2023.
ii. Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151.
Hasil daripada lawatan tersebut, pegawai-pegawai pemeriksa TAP telah memeriksa dan mendapati seramai 22 orang pekerja tempatan masih lagi belum didaftarkan dan dicarumkan ke dalam Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).
TAP dengan ini ingin mengingatkan majikan mengenai tanggungjawab mereka untukmendaftarkan dan membayar caruman pekerja-pekerja yang layak ke skim SPK. Setiap pekerja yang memenuhi persyaratan skim adalah dimestikan untuk mempunyai simpanan persaraan untuk dimanfaatkan di hari persaraan mereka nanti. Ini termasuklah pekerjasementara, pekerja berkontrak, pekerja bergaji hari, dan pekerja di dalam tempoh percubaan. Di bawah Bab 35 (1), National Retirement Scheme Order, 2023 jika sabit kesalahan, Majikan boleh didenda tidak lebih dari $3,000.00 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih dari $10,000.00 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
TAP ingin memaklumkan kepada Majikan bahawa proses pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja telah dipermudahkan dengan hanya menggunakan perkhidmatan online TAP, e-Amanah. Para Majikan boleh melog masuk ke akaun portal e-Amanah masing-masing melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.
Unit SDT juga mendapati sebanyak sebelas (11) unit alat timbangan digunakan bagi tujuan perniagaan. Tiga (3) unit daripadanya gagal mematuhi Peraturan-Peraturan (Penelitian) Alat-Alat Sukatan dan Timbangan 1994, 3 (1) dan (2), Akta Sukatan dan Timbangan 1983 Penggal 151. Pihak syarikat telah dikeluarkan Notis Peringatan dan dikehendaki untuk hadir ke Pejabat Unit SDT dalam tempoh tujuh (7) hari waktu bekerja dari tarikh notis dikeluarkan untuk memperbetulkan isu berkenaan.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi agensi-agensi berkenaan seperti keterangan berikut:
i. Unit Penguatkuasaan TAP di talian 7302929 ataupun melalui e-mel di enforcement@tap.com.bn, Cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2722929 semasa waktu bekerja. Bagi ahli yang telah berdaftar ke e-Amanah, bolehlah mendaftar masuk ke akaun ahli aduan boleh dibuat melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.
ii. Unit Sukatan dan Timbangan melalui e-mel di sdt@mofe.gov.bn atau di talian 2334092 semasa waktu bekerja.