Mummy Mya Kitchen Penalised Under TAP's Law

2 November 2024

Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah membuat pendakwaan ke atas pemilik perniagaan Mummy Mya Kitchen atas kesalahan gagal membayar caruman pekerja di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 26 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009 dan Bab 31, National Retirement Act, Chapter 273.

Pemilik perniagaan tersebut telah mengaku bersalah ke atas pertuduhan iaitu gagal membuat pembayaran caruman Skim TAP, Skim SCP dan Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) bagi pekerjapekerjanya dalam masa yang ditetapkan. Dalam hubungan ini, Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan telah menjatuhkan hukuman denda ke atas pemilik perniagaan tersebut sebanyak $3,000.00 dan diarahkan untuk membayar denda dan kesemua caruman Skim TAP, SCP dan SPK yang tertunggak termasuk dividen terakru sebanyak $2,236.71 tidak lewat dari 1 Mei 2025.

Di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan, 2009 dan Bab 31, National Retirement Act, Chapter 273, jika sabit kesalahan, Majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000.00 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000.00 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya.

Dalam hal ini, bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, TAP ingin mengingatkan para Majikan untuk sentiasa memastikan mereka membuat pembayaran caruman pekerja sebelum 15 pada bulan berikutnya bagi mengelakkan denda lewat pembayaran yang termasuk caj kerugian dividen dan caj perkhidmatan.

Bagi isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal penguatkuasaan seperti tidak didaftar dan tiada pembayaran caruman, para pekerja adalah dinasihatkan untuk membuat aduan dan mengongsikan maklumat melalui hotline Unit Penguatkuasaan TAP di talian 730 2929 ataupun melalui emel di alamat enforcement@tap.com.bn.

Para pekerja juga boleh mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja. Aduan juga boleh dibuat bagi ahli yang telah berdaftar ke perkhidmatan online TAP (e-Amanah) ataupun melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn.

in News
Lakastah Bersedia Event: Bijak Merancang, Bahagia Bersara