01 November 2024
Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah mengungkayahkan acara Lakastah Bersedia dengan tema “Bijak Merancang, Bahagia Bersara” yang berlangsung selama dua hari bermula dari hari Khamis, 31 Oktober 2024 sehingga hari Jumaat, 1 November 2024 bertempat di The Mall, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat semasa majlis pelancaran ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II selaku Pengerusi Lembaga TAP.
Acara Lakastah Bersedia merupakan program perancangan persaraan inisiatif TAP yang berterusan dan komprehensif dalam mempersiapkan peserta dengan lebih awal sebelum melangkah ke alam persaraan, Program ini disasarkan kepada ahli-ahli TAP yang akan bersara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Program yang sama sebelumnya telah diadakan di beberapa kementerian dan tahun ini ianya diadakan secara terbuka bagi menekankan lagi kepentingan perancangan awal persaraan dari segi kewangan dan aspek lain kepada orang ramai khususnya ahli-ahli TAP.
Pelancaran Program Pensijilan Perancangan Persaraan
Semasa majlis pelancaran, tetamu kehormat majlis juga telah melancarkan program TAPCERT, “iaitu sebuah Program Pensijilan Perancangan Persaraan” (The Retirement Planning Certification Program), yang akan ditawarkan kepada pengamal perancang kewangan (financial planning practitioners) di Negara ini. Ini adalah bagi menaiktarafkan lagi pembarigaan maklumat berkaitan perancangan persaraan, dimana pengamal perancang persaraan yang diiktiraf oleh TAP akan dapat memberikan maklumat yang tepat terutama mengenai Skim Persaraan Kebangsaan (SPK), serta panduan membuat Perancangan Persaraan di dalam konteks SPK.
Acara Lakastah Bersedia
Di samping itu, acara ini mengandungi beberapa aktiviti-aktiviti yang merangkumi aspek-aspek ilmiah dan praktikal dalam memastikan persiapan awal dilakukan agar individu dapat menghadapi perubahan ini dengan keyakinan dan persediaan yang mencukupi sebelum melangkah ke fasa persaraan.
Aktiviti yang diadakan semasa hari pertama adalah berkonsepkan forum perbincangan yang telah diaturkan bersama panel jemputan daripada pelbagai institusi yang diiktiraf di Negara ini. Forum ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan dengan persaraan di Brunei Darussalam, merangkumi fasa persiapan sebelum persaraan serta setelah memasuki fasa persaraan itu sendiri. Dengan pelbagai perspektif yang dikongsikan semasa sesi tersebut, ianya dihasratkan untuk menjadikan sesi yang informatif dan bermanfaat kepada peserta yang hadir.
Selain itu, beberapa sesi taklimat turut diadakan bagi menerangkan mengenai beberapa topik yang berkaitan seperti kepentingan perancangan persaraan, perkongsian tips pengurusan kewangan, pengurusan harta, tatacara mengenalpasti dan menghindari Skim Cepat Kaya, perhubungan kekeluargaan dan beberapa topik lain yang selaras dengan objektif acara ini.
Penceramah-penceramah yang telah dijemput bagi menyampaikan kepentingan aspek berkenaan terdiri dari wakil-wakil daripada Centre for Strategic and Policy Studies (CSPS), Brunei Economic Development Board (BEDB), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Jabatan Hal Ehwal Syari'ah Kementerian Hal Ehwal Ugama, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Association of Banks (BAB), Brunei Insurance and Takaful Association (BITA) dan Pertubuhan WARGAMAS.
Pameran Booth
Di sepanjang acara ini turut diadakan pameran bagi membolehkan pengunjung acara untuk mendapatkan maklumat-maklumat dan produk berkaitan dengan perancangan kewangan dan persaraan melalui institusi yang dijemput, iaitu Baiduri Bank Berhad, Bank Standard Chartered (SCB), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insuran TAIB, Takaful Brunei, AIA Brunei, The Brunei Economic Development Board (BEDB), Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Pertubuhan WARGAMAS.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 atau melalui emel ask@tap.com.bn semasa waktu bekerja. Bagi mengetahui perkembangan terkini, ikuti akaun sosial media rasmi TAP iaitu @TAP_Brunei bagi akaun Instagram ataupun @Tabung Amanah Pekerja (TAP) bagi akaun rasmi Facebook.