Tabung Amanah Pekerja Mengadakan Program ’Lakastah Bersedia’ Program Di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

17 Oktober 2025

Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah meneruskan lagi Program Lakastah Bersedia untuk kali kedua bagi tahun ini, iaitu sebuah inisiatif perancangan persaraan komprehensif yang diungkayahkan selama dua hari bermula pada hari Rabu, 15 Oktober hingga hari Khamis, 16 Oktober 2025 bertempat di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. 

Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan membuat persediaan awal sebelum menghadapi fasa persaraan, dengan meliputi aspek-aspek utama seperti penjagaan hubungan kekeluargaan dan sosial, penjagaan kesihatan, perancangan kewangan dan pengurusan harta. Golongan sasaran terdiri daripada individu yang dijangka bersara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. 

Bagi sesi kali ini, seramai 30 orang pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama pasangan masing-masing telah dijemput menyertai program tersebut. Penyertaan pasangan dalam perancangan persaraan diharap dapat memperkukuh keberkesanan strategi persaraan secara bersama. 

Melalui program ini, para peserta berpeluang mendapatkan pendedahan dan panduan praktikal daripada beberapa institusi jemputan. Selain daripada penyampaian mengenai perancangan kewangan dan persaraan oleh Unit Perkhidmatan Persaraan TAP, antara institusi yang turut terlibat ialah Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) yang menekankan pentingnya mengenal pasti dan menghindari penipuan kewangan, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga (BKNK) yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan hubungan kekeluargaan dan sosial, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang membincangkan aspek pengurusan harta waris sebelum dan selepas meninggal dunia mengikut hukum Syara', Pusat Promosi Kesihatan yang mengetengahkan kepentingan penjagaan kesihatan sebelum dan semasa bersara, serta Cyber Security Brunei (CSB) yang turut mengongsikan isu-isu keselamatan digital dan panduan praktikal bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber. 

Program ini turut menekankan kepentingan menetapkan matlamat pendapatan persaraan serta mengambil tindakan awal bagi mengekalkan gaya hidup yang selesa semasa bersara nanti. TAP juga menggalakkan ahli-ahli TAP untuk membuat caruman sukarela ke dalam Akaun Ahli SPK sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka. 

Dengan adanya Program Lakastah Bersedia ini, diharap akan dapat menjadi landasan awal kepada para peserta dalam membina kehidupan persaraan yang lebih terancang, selamat dan bermakna. Usaha seumpama ini akan diteruskan ke kementerian serta agensi lain pada masa akan datang. 

Bagi ahli-ahli TAP yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan boleh menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja ataupun melalui emel di ask@tap.com.bn. 

Pengagihan Dividen bagi Skim-Skim Di Bawah TAP Bagi Tahun Kewangan 2024-2025