1 Ogos 2025
Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah mengungkayahkan Program Lakastah Bersedia, sebuah inisiatif perancangan persaraan secara komprehensif yang berlangsung selama dua hari bermula pada hari Rabu, 30 Julai hingga hari Khamis, 31 Julai 2025 bertempat di Dewan Al- ‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
Antara lain, program ini bertujuan untuk mempromosi kepentingan membuat persediaan awal dalam menghadapi fasa persaraan, meliputi aspek kewangan, kesihatan, perhubungan kekeluargaan/sosial serta pengurusan harta. Golongan sasaran terdiri daripada individu yang dijangka bersara dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang.
Bagi sesi kali ini, seramai 30 orang pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kesihatan bersama pasangan masing-masing telah dijemput menyertai program tersebut, dengan harapan agar penyertaan bersama dapat memperkukuh keberkesanan perancangan bersama.
Melalui program ini, para peserta berpeluang mendapatkan pendedahan dan panduan praktikal daripada institusi jemputan. Selain daripada penyampaian mengenai perancangan kewangan dan persaraan daripada Unit Perkhidmatan Persaraan TAP, institusi yang terlibat termasuk Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) yang menekankan pentingnya mengenali dan menghindari penipuan kewangan, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga yang memberi fokus kepada kesejahteraan hubungan kekeluargaan dan sosial, Universiti Islam Sultan Sharif Ail (UNISSA) yang membincangkan aspek pengurusan harta waris sebelum dan selepas meninggal dunia mengikut hukum Syara', serta Pusat Promosi Kesihatan yang mengetengahkan langkah menjaga kesihatan sebelum dan selepas bersara.
Turut ditekankan semasa program ini ialah kepentingan menetapkan matlamat pendapatan persaraan dan mula mengambil tindakan awal untuk mengekalkan gaya hidup yang biasa dijalani setelah bersara nanti. TAP turut menggalakkan membuat caruman sukarela kedalam Akaun Ahli SPK sebaaai salah satu usaha untuk meningkatkan simpanan persaraan
Dengan adanya Program Lakastah Bersedia ini, diharapkan dapat dijadikan landasan awal kepada para peserta untuk membina kehidupan yang lebih terancang, selamat dan bermakna. Usaha seumpama ini akan diteruskan lagi ke kementerian-kementerian dan agensi lain dimasa akan datang.
Bagi ahli-ahli TAP yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh TAP bolehlah menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja ataupun melalui emel di ask@tap.com.bn.