Tabung Amanah Pekerja Menjadi Tuan Rumah bagi Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) Ke-42

4 November 2025

Majlis Pembukaan Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) ke-42 telah berlangsung hari ini di Brunei Darussalam yang dihoskan oleh Tabung Amanah Pekerja (TAP). Majlis yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong ini dihadiri oleh lebih 160 peserta terdiri daripada wakil-wakil institusi ahli ASSA, pertubuhan antarabangsa serta tetamu jemputan. 

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, merangkap Ahli Lembaga Pengarah TAP, selaku Tetamu Kehormat. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama serantau dalam memastikan sistem perlindungan sosial yang inklusif dan berdaya tahan. Beliau menegaskan bahawa cabaran sebenar bagi institusi keselamatan sosial bukanlah teknologi itu sendiri, tetapi bagaimana mengurus transformasi digital dengan berkesan serta memanfaatkan peluang yang ada. 

Beliau turut menambah bahawa usaha berterusan Kerajaan Brunei Darussalam melalui Brunei Social Blueprint dan Wawasan Brunei 2035 menggambarkan komitmen jangka panjang negara untuk membina masa depan yang terjamin dan mampan bagi semua rakyat, disokong oleh institusi seperti TAP yang terus memperkasakan inovasi dan keterangkuman dalam bidang keselamatan sosial. 

Terdahulu, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Mr. Jose Arnulfo A. Veloso, Presiden dan Pengurus Besar Government Service Insurance System (GSIS) Filipina, selaku Pengerusi ASSA bagi penggal 2024–2025. 

Mesyuarat tahun ini bertemakan “Collective Progress – Transformative Reforms Towards a Secure Future for All”, yang menekankan kepentingan perpaduan dan perkongsian pengetahuan antara institusi keselamatan sosial ASEAN bagi memperkukuh daya tahan dan memastikan tiada pihak yang ketinggalan. 

Selesai majlis pembukaan, beberapa sesi plenari telah diadakan dengan menampilkan pembentang-pembentang jemputan, antaranya: Whole-of-Nation Social Development: Strengthening the Foundations of Social Security through Social Blueprint yang disampaikan oleh Yang Mulia Hajah Nor Ashikin Haji Johari, Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan beberapa topik dibincangkan seperti memperkukuh perlindungan sosial melalui pendekatan seluruh negara, membina skim persaraan yang mampan, peranan kecerdasan buatan dalam penjagaan kesihatan bagi masyarakat menua, serta perkongsian amalan terbaik global oleh International Social Security Association (ISSA). 

Pada sebelah petang, sesi diteruskan dengan Perkongsian Amalan-Amalan Terbaik (Good Practices) berkaitan keselamatan sosial oleh negara-negara ahli ASSA. 

Turut hadir semasa majlis pembukaan ialah pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah TAP, Ahli-Ahli Komiti Lembaga TAP, serta wakil-wakil institusi negara anggota ASEAN. 

Acara dua hari ini akan berakhir pada 05 November 2025, dengan berlangsungnya Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) ke-42, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial ASEAN melalui semangat kerjasama dan matlamat bersama. 

Tabung Amanah Pekerja Mengadakan Program ’Lakastah Bersedia’ Program Di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi