Sebuah Syarikat Kontraktor Didenda Di Bawah Undang-Undang TAP Atas Kegagalan Membayar Caruman Pekerja

17 Februari 2026

Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah membuat pendakwaan terhadap sebuah syarikat kontraktor berdaftar atas kesalahan gagal membayar caruman pekerja di bawah undang-undang TAP. 

Pemilik syarikat kontraktor tersebut telah mengaku bersalah kerana gagal membuat pembayaran bagi Skim TAP, Skim SCP dan Skim SPK seperti yang diperuntukkan di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276), dan Bab 31 Akta Skim Persaraan Kebangsaan (Penggal 273) bagi pekerja-pekerjanya dalam tempoh yang ditetapkan. 

Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak B$3,000.00 ke atas syarikat tersebut. Sekiranya gagal membayar, pemilik syarikat akan dikenakan hukuman penjara selama 3 bulan. Mahkamah juga mengarahkan syarikat tersebut untuk membayar sebanyak B$21,210.53 kepada TAP, dan sekiranya gagal, akan dikenakan hukuman penjara selama 6 bulan.

TAP ingin mengingatkan semua majikan bahawa di bawah Bab 23 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167), Bab 26 Akta Amanah Pencen Caruman Tambahan (Penggal 276), dan Bab 31 Akta Skim Persaraan Kebangsaan (Penggal 273), majikan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga B$3,000.00 bagi kesalahan pertama dan sehingga B$10,000.00 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Bagi memastikan kesejahteraan ahli TAP sentiasa terpelihara, majikan adalah diingatkan untuk memastikan caruman dibayar sebelum 15hb pada bulan berikutnya bagi mengelakkan denda lewat pembayaran termasuk caj kerugian dividen dan caj perkhidmatan.

Para pekerja yang mempunyai aduan berkaitan penguatkuasaan seperti tidak berdaftar atau tiada pembayaran caruman boleh menghubungi Unit Penguatkuasaan TAP melalui talian 730 2929 atau emel enforcement@tap.com.bn. Aduan juga boleh dibuat di mana-mana cawangan TAP, melalui Pusat Panggilan di talian 272 2929 semasa waktu bekerja, atau melalui portal perkhidmatan dalam talian e-Amanah di www.tap.com.bn

IS Montessori Playhouse Didenda Atas Kesalahan Di Bawah Undang-Undang TAP