17 Disember 2025
Tabung Amanah Pekerja (TAP), melalui Unit Perkhidmatan Persaraan telah meneruskan usaha jangkauan (outreach) kepada ahli-ahli TAP melalui Program 10 Tahun Menjelang Persaraan yang berlangsung pada Isnin, 15 Disember 2025, bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Bandar Seri Begawan.
Program ini merupakan inisiatif berterusan TAP yang disasarkan kepada ahli-ahli TAP yang akan bersara dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang (umur 45 tahun ke atas). Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membuat perancangan persaraan lebih awal bagi mencapai gaya hidup persaraan yang diinginkan. Ia juga bertujuan untuk memudahkan akses peserta kepada institusi yang boleh membantu dalam membuat perancangan kewangan yang lebih teratur, meningkatkan kewaspadaan terhadap penipuan kewangan, serta memupuk komuniti yang menyokong satu sama lain dalam perjalanan perancangan persaraan mereka.
Program kali ini menghimpunkan pegawai dan kakitangan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, The Authority for Info-Communications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI) dan Maritime and Port Authority of Brunei Darussalam (MPABD).
Sepanjang program ini, TAP telah mengongsikan beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan dalam membuat perancangan persaraan, seperti menetapkan matlamat pendapatan persaraan dengan mengenal pasti keperluan semasa bersara nanti serta tindakan yang perlu diambil mulai sekarang untuk mengecapi matlamat tersebut. TAP turut menerangkan mengenai Caruman Sukarela yang membolehkan ahli menambah simpanan ke dalam SPK Akaun Ahli sebagai usaha meningkatkan jumlah simpanan untuk kegunaan persaraan kelak. Pada masa yang sama, TAP turut mengingatkan pengeluaran yang dibuat sebelum umur persaraan, biarpun memenuhi keperluan tertentu, akan mengurangkan jumlah simpanan yang sedia ada, justeru itu ahli digalakkan untuk membuat pertimbangan yang teliti sebelum membuat sebarang pengeluaran.
Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) turut dijemput untuk menyampaikan taklimat berkaitan isu-isu kewangan semasa, dengan penekanan terhadap penipuan kewangan, langkah-langkah keselamatan dalam pelaburan, serta kepentingan membuat keputusan kewangan yang berhemah dan berinformasi.
Para peserta juga berpeluang melawat beberapa ruang pameran kewangan yang menyediakan maklumat mengenai produk serta perkhidmatan kewangan berkaitan perancangan persaraan daripada institusi kewangan yang terdiri dari BDCB, Persatuan Bank-Bank Brunei (BAB) dan Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA). TAP turut menyediakan ruangan (booth) pendaftaran e-Amanah, iaitu portal perkhidmatan dalam talian yang membolehkan ahli menyemak baki terkini akaun SPK mereka serta mengakses pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh TAP secara mudah dan pantas.