08 Ogos 2025
Tabung Amanah Pekerja (TAP), melalui Unit Perkhidmatan Persaraan telah meneruskan Program 10 Tahun Menjelang Persaraan (10 Years Towards Retirement) yang diadakan di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Bandar Seri Begawan, pada hari Khamis, 07 Ogos 2025.
Program ini merupakan inisiatif berterusan TAP yang disasarkan kepada ahli-ahli TAP yang akan bersara dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang (umur 45 tahun ke atas). Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan membuat perancangan persaraan lebih awal bagi mencapai gaya hidup persaraan yang diinginkan. Ia juga bertujuan untuk memudahkan akses peserta kepada institusi yang boleh membantu dalam membuat perancangan kewangan yang lebih teratur, meningkatkan kewaspadaan terhadap penipuan kewangan, serta memupuk komuniti yang menyokong satu sama lain dalam perjalanan perancangan persaraan mereka.
Peserta program kali ini terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pembangunan dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, serta beberapa wakil dari Syarikat Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd.
Sepanjang program ini, TAP telah mengongsikan beberapa faktor penting yang perlu dipertimbangkan dalam membuat perancangan persaraan, seperti menetapkan matlamat pendapatan persaraan dengan mengenal pasti keperluan semasa bersara nanti serta tindakan yang perlu diambil mulai sekarang untuk mengecapi matlamat tersebut. TAP turut menerangkan mengenai Caruman Sukarela yang membolehkan ahli menambah simpanan ke dalam SPK Akaun Ahli sebagai usaha meningkatkan jumlah simpanan untuk kegunaan persaraan kelak.
Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) juga telah dijemput untuk menyampaikan
taklimat berkaitan isu-isu kewangan semasa, khususnya penipuan kewangan,
langkah-langkah keselamatan dalam pelaburan, serta kepentingan membuat
keputusan kewangan yang bijak dan berinformasi.
Sesi taklimat juga dilengkapi dengan beberapa ruangan pameran (booth)
daripada BDCB, Brunei Insurance & Takaful Association (BITA) dan Brunei
Association of Banks (BAB) bagi membolehkan peserta mendapatkan maklumat
mengenai produk dan perkhidmatan kewangan apabila membuat perancangan
persaraan. TAP juga menyediakan ruangan (booth) pendaftaran e-Amanah, iaitu
portal perkhidmatan dalam talian yang membolehkan ahli menyemak baki terkini
akaun SPK mereka serta mengakses pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan
oleh TAP secara mudah dan pantas.