Program 10 Tahun Menjelang Persaraan

21 Mei 2026

Tabung Amanah Pekerja (TAP) melalui Unit Perkhidmatan Persaraan telah meneruskan lagi Program 10 Tahun Menjelang Persaraan. Program inidiadakan selama dua hari pada 18 dan 19 Mei 2026 bertempat di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Bandar Seri Begawan. 

Program ini merupakan inisiatif berterusan TAP yang disasarkan kepada ahli-ahli TAP yang berumur 45 tahun ke atas atau yang akan bersara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang (b). Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai kepentingan membuat perancangan persaraan lebih awal bagi mencapai gaya hidup persaraan yang diinginkan. Ia juga bertujuan untuk memudahkan akses peserta kepada institusi yang boleh membantu dalam membuat perancangan kewangan dengan lebih teratur, meningkatkan kewaspadaan terhadap penipuan kewangan, serta memupuk komuniti yang menyokong satu sama lain dalam perjalanan perancangan persaraan mereka.​ 

Hari pertama program telah menghimpunkan pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan, dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Manakala hari kedua pula dihadiri oleh pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, serta Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi. 

Di sepanjang program ini, TAP telah mengongsikan pelbagai faktor penting yang perlu dipertimbangkan dalam membuat perancangan persaraan, seperti menetapkan matlamat pendapatan persaraan dengan mengenal pasti keperluan semasa bersara nanti serta tindakan yang perlu diambil mulai sekarang untuk mengecapi matlamat tersebut. TAP turut menerangkan mengenai Caruman Sukarela yang membolehkan ahli menambah simpanan ke dalam Akaun Ahli SPK sebagai usaha meningkatkan lagi jumlah simpanan untuk kegunaan persaraan nanti. Pada masa yang sama, TAP turut mengingatkan peserta mengenai impak pengeluaran simpanan yang dibuat sebelum umur persaraan. Walaupun pengeluaran tersebut dibuat untuk memenuhi keperluan tertentu, ianya tetap akan mengurangkan jumlah simpanan yang sedia ada. Sehubungan dengan itu, ahli dinasihatkan untuk membuat pertimbangan dengan lebih teliti sebelum membuat sebarang pengeluaran. 

Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) juga turut dijemput untuk menyampaikan taklimat berkaitan isu-isu kewangan semasa dengan penekanan terhadap penipuan kewangan, langkah-langkah keselamatan dalam pelaburan serta kepentingan membuat keputusan kewangan yang berhemah dan berinformasi. 

Para peserta juga berpeluang melawat beberapa ruang pameran kewangan yang menyediakan maklumat mengenai produk serta perkhidmatan kewangan berkaitan perancangan persaraan. TAP turut menyediakan ruangan (booth) pendaftaran portal perkhidmatan dalam talian TAP, iaitu e-Amanah yang membolehkan ahli menyemak baki terkini akaun SPK mereka serta mengakses pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh TAP secara mudah dan pantas. 

SE:TAPak, Menuju Ke Arah Persaraan yang Terjamin Dengan SPK Bekerja Sendiri