Content Editor

SKIM TABUNGAN PERUMAHAN

​​

Petikan titah 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam 

pada 15hb Julai 2012 di Balai Singgahsana Istana Nurul Iman


"Satu Skim Tabungan Perumahan, diwujudkan khusus untuk ahli-ahli TAP rakyat Negara Brunei Darussalam. Keutamaan mengujudkan Skim ini ialah sebagai bantuan kepada ahli-ahli TAP yang berpendapatan rendah. Skim sukarela atau voluntary ini, akan melayakkan peserta-pesertanya untuk menerima manfaat-manfaat tertentu, antaranya jaminan pemberian pulangan tahunan dengan kadar tertentu; dan bagi peserta yang pendapatan keluarganya (household income) tidak melebihi $4,000 sebulan, akan layak untuk dihulurkan bantuan Kerajaan berjumlah tidak melebihi $25,000."

 

Apakah objektif Skim Tabungan Perumahan ini?

Objektif bagi skim tabungan ini ialah untuk menggalakkan orang ramai, khususnya rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang merupakan ahli TAP, untuk memberikan keutamaan sewajarnya terhadap matlamat bagi memiliki rumah kediaman sendiri menurut kemampuan dengan mebudayakan sikap menabung. 

 

Siapakah yang menjadi kumpulan sasaran Skim ini?

Kumpulan sasaran Skim ini ialah ahli-ahli TAP yang merupakan warga Negara Brunei Darussalam (pemegang Kad Pengenalan berwarna kuning) yang menerima pendapatan bulanan tidak melebihi B$2,000.00, atau pendapatan keluarga tidak melebihi B$4,000.00 sebulan (bagi pasangan suami dan isteri).

 

Apakah yang dimaksudkan dengan pendapatan bulanan?

Pendapatan bulanan bagi Skim ini adalah mengikut definasi 'gaji' di dalam Akta TAP.

 

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN

Apakah syarat-syarat untuk menyertai skim ini?

1.      Warga Negara Brunei Darussalam (pemegang Kad Pengenalan berwarna kuning)

2.      Berumur 55 tahun ke bawah

3.      Belum memiliki rumah sama ada bagi dirinya atau isterinya/suaminya

4.      Tidak menerima pencen bulanan dari perkhidmatannya dengan Kerajaan.


Bagaimanakah cara untuk menyertai skim ini?

Ahli TAP yang telah memenuhi persyaratan untuk menyertai Skim ini bolehlah mendaftar melalui kaunter-kaunter TAP. Borang penyertaan iaitu Borang Pendaftaran Skim Tabungan Perumahan (Borang TAP06) bolehlah dimuat turun dari laman sesawang TAP, www.tap.com.bn atau didapati dari mana-mana kaunter TAP.


CARUMAN

Berapakah kadar caruman bagi skim ini?

Memandangkan Skim ini adalah secara sukarela sahaja, jumlah caruman bulanan adalah tertakluk kepada kemampuan peserta.

Adakah majikan perlu mencarum?

Memandangkan Skim ini adalah secara sukarela, maka tidak ada keperluan caruman daripada pihak majikan.

 

MANFAAT SKIM

Jaminan Kadar Dividen

Kerajaan akan memberikan jaminan kadar pulangan dividen sebanyak 3% setahun ke atas simpanan yang dibuat di Skim ini.

Jika kadar dividen TAP lebih rendah daripada kadar 3%, Kerajaan akan menghulurkan bantuan bagi menimbal apa jua kekurangan dividen yang diisytiharkan oleh TAP bagi tahun kewangan tersebut.

Manfaat ini hanya akan dihulurkan kepada peserta-peserta individu yang menerima gaji pokok tidak melebihi B$6,000.00 sebulan.


Bantuan Kewangan bagi memiliki rumah

Bantuan Kewangan di bawah Skim ini dikhususkan kepada peserta-peserta Skim yang menerima pendapatan tidak melebihi B$2,000.00 sebulan, atau tidak melebihi B$4,000.00 bagi yang berpendapatan keluarga secara purata dalam tempoh 24 bulan kebelakangan pada tarikh permohonan.